KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli
mendakwa kerajaan telah membuat satu ketirisan besar yang menyebabkan
kewangan rakyat diambil dan faedah hanya diberikan kepada
syarikat-syarikat besar.
Menurut Rafizi, jumlah bayaran premium iBR1M 2014 yang dibayar adalah
RM350 juta. Namun jumlah tuntutan yang hanya berjumlah RM42 juta sahaja
dibayar sehingga akhir September 2014.
“Ini bermakna Kerajaan Persekutuan telah membayar lebih RM300 juta
dalam bentuk keuntungan bersih kepada syarikat-syarikat insuran itu.
“Sekiranya Kerajaan Persekutuan membuat unjuran yang betul dan dapat
menjangkakan jumlah penerima BR1M 2014 yang akan membuat tuntutan secara
realistik, Kerajaan Persekutuan hanya perlu membayar RM42 juta dan.
Bukannya RM350 juta yang dibayar,”katanya dalam satu sidang media di
Parlimen hari ini.
Tegasnya, beliau menggesa supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak memberi maklumat siapa individu atau pihak yang
bertanggungjawab membawa cadangan pembayaran tersebut kepada Kerajaan
Persekutuan dan broker ini perlu menerima hukuman.
“Selain itu, kerajaan perlu dedahkan syarikat mana yang mendapat
komisen memperkenalkan skim iBR1M ini kepada konsortium syarikat insuran
dan berapa komisen yang dibayar kepada syarikat ini?.
“Saya yakin ada unsur mengambil keuntungan oleh pihak tertentu dengan
menggunakan nama rakyat sebagai alasan. Hakikat bahawa skim
perlindungan takaful ini telah dihentikan bermakna kerajaan Persekutuan
pun mahu menutup perkara ini dari diketahui umum,” jelasnya.
Katanya, skim berbentuk khairat kematian seperti ini telah pun
dilaksanakan dengan jayanya oleh kerajaan Selangor di bawah Skim Mesra
Usia Emas dan tidak menelan belanja yang merugikan rakyat seperti ini.
“Cadangan supaya kerajaan membayar premium yang mahal kepada syarikat
insuran adalah perkara biasa dan sewajarnya dikira terlebih dahulu
menggunakan unjuran-unjuran realistik.
“Kelalaian Kerajaan Persekutuan membenarkan sehingga RM350 juta tiris
kepada syarikat-syarikat besar adalah satu kesalahan yang perlukan
pertanggungjawaban untuk memastikan sama ada ia ada unsur kecuaian atau
unsur rasuah,” ujarnya.
0 Response to "Dedah broker skim iBR1M 2014"
Post a Comment