Dr M: Kerajaan terpaksa berhutang demi kekayaan 1MDB

PETALING JAYA : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan 1 Malaysia Development Bhd (1MDB) merupakan satu dana yang ditubuh oleh kerajaan sebagai dana kekayaan negara untuk dilabur supaya negara akan mendapat hasil daripada kekayaannya bagi masa depan.

Katanya, dana seperti ini ditubuh oleh negara pengeluar minyak yang tidak dapat menghabiskan pendapatan setelah mentadbir dan membangunkan negara.

“Malaysia bukanlah negara pengeluar minyak yang besar. Hampir semua 650 ribu tong yang dikeluar tiap hari diguna dalam negeri.

“Dan Malaysia pula mengalami defisit dalam belanjawannya. Tidak ada lebihan wang untuk dana kekayaan negara. Oleh itu, kerajaan terpasa hutang untuk dana kekayaan ini,” katanya dalam entri terbaru di chedet.cc.

Beliau mengulas mengenai laporan The Edge yang menyebut bahawa kos pinjaman 1MDB yang beratus juta ringgit, luar biasa tingginya.

Pada 1 September 2009 1 Malaysia Development Bhd (1MDB) menggegarkan industri perbankan apabila bersetuju membayar faedah 5.75% ke atas hutang RM5 billion.

“Hutang ini dijamin oleh Kerajaan Malaysia. Biasanya bon Kerajaan membayar hanya 4.0%. Petronas membayar 3.6% sahaja,” kata Mahathir.

Pada tahun 2014 pula, 1MDB berhutang lagi sebanyak USD1.75 billion (RM5.6 billion) dengan faedah sebanyak 5.99%. Tetapi 1MDB cuma dapat USD1.554 billion (RM4.973 billion) kerana sebanyak US196 million (RM630 million) ditolak untuk komisyen, bayaran fees dan perbelanjaan.

“Ini bermakna kos pinjaman berjumlah 11.25% dari wang yang dipinjam,” jelas beliau lagi.

Manakala, pada Mac 2013, 1MDB Global Investment Ltd telah pinjam USD3.0 billion (RM9.6 billion) dengan faedah 4.4%.

“Tetapi 1MDB mendapat hanya USD2.717 billion (RM8.7 billion) kerana USD283 million (RM906 million) atau 9.44% dipotong untuk membayar komisyen, fees dan perbelanjaan.

“Bayaran sebanyak 11.25% dan 9.44% itu dibuat kepada Goldman Sachs, pengurus pinjaman hutang ini,” katanya.

Namun sebaliknya, sebuah Syarikat Equisar International Incorporated, milik Kerajaan Sarawak membayar Goldman Sachs hanya 1.25% (USD10 million) apabila mengurus pinjaman USD800 million.

“Jurucakap Kerajaan menjelaskan bahawa 1MDB memiliki harta bernilai lebih dari RM40 billion sedangkan hutangnya hanya RM38 billion. Oleh itu rakyat tidak perlu bimbang. Tetapi kenapa bayaran kepada Goldman Sachs begitu tinggi?” soal Mahathir.

Jelasnya lagi, sebahagian wang yang dipinjam ini diguna untuk membeli stesyen janakuasa swasta. Ini dilapur dalam akhbar. Tetapi harga belian jauh lebih tinggi dari harga pasaran. Kenapa demikian?
“Seorang jurucakap kerajaan menjelaskan bahawa wang 1MDB diguna untuk Bumiputra.

“Yang saya tahu satu biasiswa diberi kepada seorang pelajar muzik. Tidak mungkin biasiswa ini bernilai RM38 billion. Kerajaan sepatutnya memberi maklumat yang jelas kepada rakyat, terutama Bumiputra akan bantuan yang boleh didapati dari 1MDB,” katanya.

Jelas Mahathir, mungkin seluruh rencana dalam The Edge adalah fitnah untuk memburuk kerajaan dan Perdana Menteri.

“Tetapi jika tidak ada audit oleh pihak bebas dan penjelasan yang munasabah, saya khuatir orang ramai akan percaya cerita dongeng The Edge,” katanya.

0 Response to "Dr M: Kerajaan terpaksa berhutang demi kekayaan 1MDB"

Post a Comment