PETALING JAYA: Pejabat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyangkal kenyataan Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong tentang lawatannya ke Dubai.
“Tuduhan mereka bahawa Muhyiddin menghabiskan masa lima hari di Dubai untuk percutian golf berdasarkan satu dokumen yang didakwa jadual lawatannya ke Dubai adalah tidak benar dan berniat jahat.
“Beliau sebenarnya berada di Dubai dari 7 hingga 12 April 2014 dalam satu acara lawatan kerja rasmi ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE),” kata kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri hari ini.
Tambah kenyataan itu, dokumen yang didedahkan oleh kedua-dua ahli Parlimen tersebut bukan jadual sebenar lawatan kerja Muhyiddin ke Dubai, sebaliknya deraf awal program yang masih dalam perbincangan.
“Adalah menjadi kelaziman dalam mana-mana program lawatan Timbalan Perdana Menteri ke luar negara, akan terdapat beberapa perubahan pada deraf jadual lawatan sebelum ia dimuktamadkan.
“Ini kerana jadual yang diatur adalah tertakluk kepada pengesahan pihak-pihak yang terlibat di negara yang hendak dilawati.”
Terang kenyataan itu, dalam usaha untuk memperkukuhkan hubungan perniagaan dan perdagangan antara Malaysia dan UAE, Muhyiddin telah dijemput untuk menyertai acara golf bersama ahli-ahli perniagaan dari kedua-dua negara.
“Segala perbelanjaan untuk acara golf rangkaian perniagaan ini dibiayai sepenuhnya oleh syarikat-syarikat persendirian dan sama sekali tidak menggunakan peruntukan kerajaan.
“Beliau juga akan menyertai satu acara golf rasmi yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia pada 12 April 2014 bagi tujuan mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2014. Makan tengah hari bagi acara golf ini ditaja oleh Khalfan Saeed Al-Kaabi, Pengerusi ASCORP Holdings dan Naib Presiden I Dewan Perniagaan dan Industri Abu Dhabi.”
Tambah kenyataan itu, di dalam jadual akhir yang dimuktamadkan, Muhyiddin mempunyai aktiviti rasmi yang ketat sepanjang berada di Dubai.
Berikut merupakan aktiviti Timbalan Perdana Menteri itu semasa di Dubai:
- Beliau telah diberikan penghormatan oleh kerajaan UAE untuk menyampaikan ucaptama di Annual Investment Meeting (AIM) pada 8 April 2014 di Dubai.
Menurut Pejabat Timbalan Perdana Menteri itu, dalam pertemuan dengan Shaikh Mohammad Rashid Al-Maktoum Naib Presiden merangkap Perdana Menteri UAE dan Pemerintah Dubai beserta beberapa Ketua Kerajaan yang menghadiri AIM, Muhyiddin telah berkongsi pengalaman Malaysia dalam menghadapi persekitaran perniagaan antarabangsa dan menarik pelaburan asing.
AIM dihadiri oleh menteri-menteri yang bertanggungjawab mengenai pelaburan luar negara, pakar ekonomi, kewangan dan pembangunan, para pemimpin perniagaan dan ketua-ketua institusi antarabangsa.
“Dalam pertemuan yang sama, beliau telah berkesempatan menyampaikan ucapan terima kasih kerajaan Malaysia kepada Shaikh Mohammad bin Rashid Al-Maktoum atas bantuan kerajaan UAE dalam operasi pencarian pesawat MH 370 yang hilang di Lautan Hindi.”
- Beliau juga menghadiri Gulf Education and Training Exhibition 2014 dan melancarkan Malaysia Pavillion di Pusat Persidangan dan Pameran Antarabangsa Dubai pada 9 April 2014.
“Sebelum acara ini, beliau telah menerima kunjungan hormat Shaikh Nahyan Mubarak Al-Nahyan, Menteri Kebudayaan, Belia dan Pembangunan Sosial UAE dan Humaid Mohammed Al Qatami, Menteri Pendidikan UAE.”
“Shaikh Nahyan telah merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas hubungan dua hala dalam bidang pendidikan. Lebih-lebih lagi penyertaan 27 institusi pengajian tinggi Malaysia adalah yang paling banyak dalam GETEX 2014.”
GETEX yang dianjurkan sejak 1983 merupakan forum pendidikan, latihan korporat dan pembangunan kerjaya terbesar di rantau Asia Barat. Malaysia menyertainya sejak 2004. Sehingga kini, lebih 25,000 pelajar dari rantau ini melanjutkan pengajian di Malaysia.
Dalam lawatan ini juga, Muhyiddin telah meluangkan masa lebih satu jam dalam pertemuan sarapan pagi bersama Sunny Varkey, Pengerusi GEMS Education yang berpangkalan di Dubai.
GEMS Education yang berpengalaman lebih 50 tahun dalam bidang pendidikan mempunyai rangkaian sekolah swasta di 151 buah negara termasuk UAE, Amerika Syarikat dan Singapura.
Syarikat ini sedang dalam proses untuk membuka sebuah sekolah swasta dengan kadar yuran yang berpatutan di Malaysia.
- Beliau juga dijadualkan menyertai dua majlis makan malam rangkaian perniagaan bersama ahli-ahli perniagaan ternama dari Malaysia dan UAE.
“Majlis makan malam ini dibiayai oleh Syarikat Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) yang mempunyai operasi perniagaan di Dubai.
“Satu lagi majlis makan malam bersama ahli-ahli perniagaan Malaysia dan UAE dibiayai oleh Essa Al-Ghurair, Ahli Dewan Perniagaan Dubai dan Penasihat Panel Antarabangsa World Islamic Economic Forum (WIEF).
“Segala perbelanjaan bagi kedua-dua majlis makan malam ini tidak ditanggung oleh kerajaan Malaysia,” tambah kenyataan tersebut.
- Muhyiddin turut mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat Malaysia yang mempunyai kepentingan perniagaan di UAE dan Timur Tengah, antaranya Petronas dan Eversendai Coproration Berhad.
- Beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan EMKE Lulu Group of Companies atas undangan pemiliknya Yusof Ali MA.
Syarikat ini yang mempunyai lebih 100 hypermarket Lulu di negara-negara Teluk merupakan pemilik rangkaian hypermarket terbesar di rantau ini.
“Syarikat ini sedang dalam proses untuk membuka pasar raya besar halal di Malaysia dengan usahasama Felda.
“Perbincangan ini diadakan susulan daripada perjumpaan Timbalan Perdana Menteri bersama Yusof Ali MA pada hujung tahun lalu,” kata kenyataan itu lagi.
Muhyiddin turut dijemput menghadiri “Majlis Makan Malam Bersama Diaspora Malaysia” di UAE yang dianjurkan oleh Talent Corporation Berhad.
Majlis makan malam ini adalah salah satu usaha Talent Corporation menarik profesional Malaysia di luar negara untuk menyumbang kepada pembangunan Malaysia.
“Lawatan Timbalan Perdana Menteri ke Dubai merupakan sebahagian daripada lawatan rasmi pemimpin kerajaan ke luar negara seperti lawatan-lawatan lain yang bertujuan memperkukuhkan kedudukan Malaysia di dalam persekitaran ekonomi dan politik antarabangsa yang semakin dinamik.
“Keseluruhan aktiviti Timbalan Perdana Menteri sepanjang lawatan beliau ke Dubai menjurus ke arah meningkatkan hubungan perdagangan dan perniagaan antara Malaysia dan UAE serta menarik pelaburan asing ke Malaysia demi kepentingan negara.”
Menurut Pejabat Muhyiddin itu, kedua-dua Ahli Parlimen, Zairil serta Steven telah melemparkan tuduhan melulu tidak berasas terhadap Muhyiddin.
“Tindakan mereka membuat tuduhan tanpa usul periksa dengan hanya berasaskan satu dokumen yang tidak disahkan adalah satu perbuatan yang tidak profesional.
“Pejabat ini amat kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab kedua-dua Ahli Parlimen DAP tersebut yang seolah-olah menggambarkan lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri ke Dubai bagi memperkukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara dan menarik pelaburan asing ke Malaysia sebagai satu percutian yang membazir wang rakyat.”
0 Response to "Tuduhan lawatan Muhyiddin ke Dubai berniat jahat"
Post a Comment