SHAH ALAM: Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang telah tertangguh sejak hampir enam tahun lalu akan dilaksanakan serentak dengan penyusunan semula industri air di Selangor.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sudah membuat Perjanjian Persefahaman (MoU) dan dalam masa terdekat akan menandatangani dokumen perjanjian awal tersebut.
“Kita akan tandatangani perjanjian awal dalam masa yang sangat terdekat di mana Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan berusaha bersama-sama bagi melaksanakan penyusunan industri air dan pelaksanaan Langat 2 secara serentak.
“Kita sudah bersedia untuk bekerjasama, tidak payah tandatangani perjanjian pun bila kerajaan negeri sudah mengatakan akan bersedia bekerjasama, sudah pasti kita akan mengotakan janji itu dan perkara itu bukan lagi menjadi masalah,” katanya ketika menjawab soalan lisan tambahan ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsuddin Lias ketika Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.
Beliau berkata, Projek Langat 2 merupakan salah satu komponen di dalam projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor dan Kerajaan Negeri telah bersetuju, namun buat masa ini terpaksa menangguhkan pelaksanaan bagi menunggu kelulusan berkaitan tanah sementara mencari cara yang lebih holistik.
“Ketika ini kita hanya menangguhkan sahaja kelulusan berkaitan penggunaan dana untuk projek tersebut kerana perbincangan penyusunan semula sedang dijalankan untuk mencapai penyusunan semula yang terbaik dan memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) akan memantau perjalanan Langat 2 dan penyusunan semula industri air.
Khalid Ibrahim berkata, projek penyaliran air mentah dari Pahang ke Selangor telah dibuat sejak 1982 dan dibiayai oleh Kerajaan Persekutan dengan melibatkan pinjaman dari Japanese Investment Cooporation.
Katanya, perjanjian yang bernilai lebih RM2 bilion tersebut telah ditandatangani pada 31 Mac 2005.
“Sebahagian jumlah pinjaman telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi tujuan pembayaran kepada kerja-kerja yang telah dimulakan di bawah pelaksanaannya,” ujarnya.
Mengikut perjanjian pinjaman katanya, bayaran balik perlu dibuat bermula pada tahun 2016 dan pelaksanaan keseluruhan projek melibatkan empangan dan saluran terowong telah mencapai tahap 94.8 peratus siap.
0 Response to "Langat 2 dan susun semula industri air dilaksanakan serentak"
Post a Comment