Tip Melawan Manis, Punca Lelaki 'Kurang Upaya'

Golongan muda khususnya kaum lelaki yang menghidap diabetes terus membimbangkan malah Malaysia kini berada di tangga ke-10 rakyatnya menghidap diabetes. Hendak buat macam mana apabila menu sepanjang hari mesti diselitkan gula? Namun, kami boleh bantu anda melawan rasa manis ini.
Jika anda tidak boleh melupakan minuman berkarbonat, gantikan minuman tersebut dengan minuman soda diet rendah yang boleh mengurangkan kalori dan 'campakkan' beberapa hirisan buah sitrus seperti lemon. Dengan cara ini, anda berjaya mengurangkan 10 sudu gula seperti yang terdapat dalam satu tin minuman bergas.
Minuman yogurt yang mempunyai buah-buahan sedia ada biasanya mengandungi hampir 30 gram gula. Apa kata, kali ini anda pilih yogurt kosong. Untuk memberi rasa yang menarik, masukkan buah-buahan segar atau taburkan sedikit kulit kayu manis. Anda berjaya mengurangkan dua hingga empat sudu gula.
Lupakan snek ringan seperti gula-gula, biskut atau coklat sebaliknya gantikan dengan mengambil kekacang, sayur-sayuran, buah-buahan tinggi serat (misalnya epal dan beri) atau paling menarik adalah bertih jagung! Anda berjaya mengurangkan dua hingga sepuluh teh gula.
Usah terlalu percaya dengan minuman berjus yang ada dijual dipasaran. Kebanyakan minuman berjus yang dijual mengandungi 10 peratus gula tambahan. Oleh demikian, lebih baik anda menambah air kosong supaya larutan jus lebih cair dan dapat mengurangkan kalori. Anda berjaya mengurangkan dua hingga tiga sudu gula.
Pencuci mulut tidak semestinya perlu manis dan mempunyai banyak campuran bahan terutama gula. Pencuci mulut semulajadi yang terdiri daripada buah pic, limau gedang dan tembikai adalah menu paling baik. Dengan cara ini, anda berjaya mengurangkan dua hingga sepuluh sudu gula.
Ketahuilah bahawa penyakit diabetes atau kencing manis ini bukan saja menampakkan anda seorang yang obesiti, si bertubuh kurus juga cenderung berdepan dengan penyakit ini. Paling merisaukan apabila penyakit diabetes boleh menjejaskan keupayaan anda sebagai lelaki yang sepatutnya memberi zuriat dan kepuasan kepada pasangan masing-masing.
Mungkin ia lebih kedengaran menggerunkan apabila pesakit diabetes berdepan risiko masalah ereksi dan kemandulan gara-gara tahap glukosa yang tinggi dan tidak stabil. Maka, ia mengganggu perjalanan darah, fungsi dan tindak balas urat saraf tergendala. Masih mahu mengambil minuman manis?

0 Response to "Tip Melawan Manis, Punca Lelaki 'Kurang Upaya'"

Post a Comment