Sepanjang anda bergelar suami, tipu jika anda tidak pernah berbohong hatta bohong 'sunat' sekalipun terhadap isteri. Apakah pengorbanan terbesar anda dalam memelihara institusi rumah tangga dan bilakah kali terakhir anda menghargai isteri anda? Ayuh jadi suami paling hebat dan setia di mata isteri!
Menjalani kehidupan berumah tangga tentu banyak rintangan. Ibarat pelayar mencari angin bagi memastikan kapal berlayar dengan seimbang dan selamat, begitu jugalah tugas suami untuk menentukan kebahagiaan seisi rumah tangga.
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Sudahlah duduk sebumbung, tabiat buruk pasangan pun sudah boleh diterima. Apatah lagi bau 'angin' pasangan sudah tidak rasa jelek lagi. Makan hati usah dikira, lambat laun pasti berbaik juga. Itulah istimewanya menjadi suami isteri. Sungguh akrab luar dan dalam!
Persoalannya, 'keakraban' suami isteri ini boleh juga terlerai biarpun sudah bertahun lamanya mendirikan rumah tangga. Tolak tepi alasan sudah tidak ada persefahaman. Alasan lapuk sebegini sudah tidak relevan kerana tidak ada persefahaman boleh dibawa berbincang. Jika benar langsung tidak ada persefahaman, bagaimana anda boleh berkasih sehingga merancang untuk berkahwin?
Bukan mahu menyalahkan takdir tetapi setiap manusia diberikan akal. Kita sendiri sudah boleh menilai perkara baik buruk mana yang boleh memberi kesan terhadap keluarga. Kaya atau miskin, tua atau muda, jika masing-masing pandai menjaga adab dan maruah keluarga, semestinya perkara sebegini tidak berlaku. Jika iman penuh di dada, berpegang teguh pada agama, pasti tanggungjawab tidak akan 'ke laut'!
Dalam kehidupan masyarakat, ramai orang luar menuding jari ke arah lelaki-lelaki kaya. Konon-kononnya lelaki kaya bersikap kaki perempuan. Oh lelaki-lelaki yang sedang membaca, jangan mudah melatah! Ini hanya pandangan dari apa yang dilihat dalam kelompok masyarakat hari ini. Bukti mungkin tidak seberapa tetapi drama-drama, filem-filem mahupun kisah benar hari ini rata-ratanya lelaki kaya cenderung menjadi mangsa kesalahan kerana bersikap tidak setia terhadap isteri dan mengabaikan anak-anak.
Sebenarnya, tidak semua lelaki kaya itu tidak setia. Lelaki yang tidak begitu berharta juga apa kurangnya. Masyarakat hari ini menilai air mata sang isteri lantas menyalahkan sang suami. Dalam hal ini, wanita juga perlu pandai menjaga hati suami. Cukup makan, pakai, layanan dan pandai berhias sudah cukup 'mengikat' cinta suami.
Bukan kerana lelaki kaya yang mampu memiliki Ferrari atau Porsche Panamera itu tidak setia tetapi mungkin kerana populasi kaum Adam kian berkurang, maka ada wanita sanggup berkongsi!
EXTRA MASKULIN
10 Tip menjadi suami paling hebat dan setia di mata isteri:
1. Menjaga maruah dan kelengkapan keluarga dari segi nafkah, pakaian dan tempat tinggal.
2. Tidak sesekali mengabaikan pegangan agama.
3. Bergaul bersama isteri dengan cara yang baik.
4. Mengajar isteri ilmu agama.
5. Meluangkan waktu bergurau bersama isteri.
6. Melakukan aktiviti dan riadah bersama keluarga.
7. Sentiasa melihat sisi positif isteri.
8. Menerima kekurangan isteri walau apa jua keadaan.
9. Sedar akan tanggungjawab yang digalas ketika awal pernikahan.
10. Sentiasa membaca Al-Quran, buku-buku agama dan motivasi.
0 Response to "Lelaki Kaya Kurang Setia?"
Post a Comment