PETALING JAYA: Bekas Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Wangsa Maju, Shahbudin Husin mempertahankan tindakan bekas Pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh yang selama ini menentang pelaksanaan hukum hudud dalam negara.
Menurut Shahbudin, Karpal merupakan seorang yang tegar dalam memperjuangkan keadilan dan pemergiannya pastinya akan dirasai oleh mereka yang berpegang teguh kepada perlembagaan negara.
“Hormati beliau sebagai manusia dan perjuangannya terhadap keadilan sepanjang hidupnya. Penentangannya terhadap hukum hudud barangkali boleh dimaafkan kerana beliau bukan beragama Islam yang memahami sepenuhnya perlaksanaan hukum tersebut.
“Tetapi bagaimana dengan adanya orang Islam sendiri yang menentang hudud dengan pelbagai hujah tidak Islamik? Pemmpin Umno sendiri, termasuk yang berpendidikan agama, ramai yang mengeluarkan pendapat memperlekeh hudud dengan antaranya termasuk Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang berkata, jika selepas dipotong tangan kanan kerana kesalahan mencuri pertama, kemudian tangan kiri pula kerana kesalahan kedua, selepas itu apa pula yang mahu dipotong.
“Bukankah ia lebih menghina berbanding Karpal yang hanya berkata, “langkah mayat saya dulu” jika mahu melaksanakan hudud,” soal Shahbudin melalui entri blognya semalam yang bertajuk ‘Kematian Karpal Singh Perlu Disimpati, Bukan Dikeji’.
Shahbudin turut membidas penggunaan kata-kata keji yang dilemparkan oleh pengendali laman sosial pro-Umno kepada mendiang yang disifatkannya sebagai tidak beretika.
“Begitu juga dengan tindakan bekas ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Nordin yang cuba mempolitikkan kematian Karpal dengan mengatakan kematiannya sengaja ditakdirkan Allah SWT untuk memudahkan perlaksnaan hukum hudud, juga tidak boleh diterima serta melambangkan sarang pemikirannya yang kotor lagi keji.
“Tidakkah beliau sedar yang paling utama menentang hudud ialah (Tun Dr) Mahathir (Mohamad)? Bekas perdana menteri itu bukan saja menulis surat mengenainya, bercakap dalam pelbagai nada, bahkan menggunakan parlimen untuk menghalangnya dengan mengatakan perlaksanaan hudud tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.
“Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu (Mohd Zubir Embong) pula baru-baru ini turut menolak usul hudud yang dibentangkan. Jadi siapa sebenarnya yang lebih menolak hudud?” tegasnya lagi.
Dalam masa yang sama, Shahbudin turut memuji tindakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang menempelak kenyataan Zulkifli itu di laman Twitter.
“Sebab itu tindakan Khairy Jamaluddin yang menempelak Zulkifli dengan teguran keras “Shut up. Really shut up” amat bertepatan sekali walaupun KJ (Khairy) jarang-jarang memakai kopiah putih di kepalanya seperti penampilan Zulkifli itu,” katanya lagi.
0 Response to "Karpal hanya menentang kerana tak faham hudud"
Post a Comment