SHAH ALAM: ADUN Bukit Antarabangsa Azmin Ali menggesa Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan agar Perjanjian Awal (Heads of Agreement) yang akan ditandatangani dengan kerajaan persekutuan tidak terikat Akta Rahsia Kerajaan (OSA).
Hal ini kerana isi kandungan yang didakwa Azmin, berkenaan pengambilalihan penstrukturan air di negeri itu, masih belum didedahkan kepada wakil rakyat dan juga rakyat Selangor.
“Perkara ini perlu didedahkan demi prinsip keterbukaan dan ketelusan parti.
“Pakatan Rakyat (PR) sering berpegang kepada prinsip keterbukaan dan ketelusan sebelum perjanjian ini ditandatangani dan Kerajaan Negeri mendesak supaya memasukkan pengakuan bahawa perjanjian ini tidak akan terikat dalam Akta Rahsia Rasmi kerajaan,” katanya sewaktu membahas titah Sultan.
Jelasnya lagi, persetujuan ini perlu dicapai terlebih dahulu sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut dan ia mesti ditulis dan dipersetujui supaya OSA tidak digunapakai dalam perjanjian yang akan ditandatangani beberapa hari akan datang.
Azmin turut mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang merahsiakan tindakan lanjutan itu kepada umum termasuk barisan wakil rakyat yang hanya mengetahuinya daripada Kerajaan Persekutuan di Sidang Parlimen baru-baru ini.
Tindakan ini akan mencetuskan spekulasi sepertimana yang berlaku ketika Kerajaan Negeri itu menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) baru-baru ini yang akhirnya mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk ahli dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri.
“Saya ingin dapatkan penjelasan daripada Kerajaan Negeri berhubung status pengambil alihan air.
“Apa yg kita dimaklumkan di perbahasan di Parlimen, Kerajaan Persekutuan akan menandatangani ‘Heads of Agreement’ dalam beberapa hari akan datang.
“Apakah perkara ini benar Kerajaan Persekutuan akan menandatangani dengan Kerajaan Negeri, kerana sehingga petang ini pimpinan PR mahupun ahli-ahli Yang Berhormat sama ada PR mahupun Barisan Nasional (BN) belum dapat melihat isi kandungan perjanjian yang dimaksudkan.
“Ada baiknya kandungan perjanjian itu diteliti terlebih dahulu dan dibentangkan di dewan secara terbuka dan telus kerana ia hanya melibatkan kepentingan rakyat,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau mencadangkan agar isi kandungan perjanjian itu diteliti dan dibentang di Sidang DUN sebelum ditandatangani.
Kerajaan Persekutuan terbaru telah bersetuju untuk menandantangani Perjanjian Awal (Heads of Agreement) dengan Kerajaan Negeri Selangor yang mengandungi maklumat lebih menyeluruh dan terperinci mengenai penstrukturan semula industri air Selangor dalam masa yang terdekat.
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) bakal mewakili Kerajaan Persekutuan manakala Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) akan mewakili Kerajaan Negeri Selangor.
0 Response to "Perjanjian Awal air Selangor perlu dibentang"
Post a Comment