Ada banyak alasan mengapa penulis tertarik melakukan aktiviti selaman dalam gua di dasar laut. Keindahan dan keunikannya menjanjikan sesuatu yang luar biasa. Formasi batuan yang membentuk rongga-rongga gua itu cukup menghidangkan mata dengan pemandangan eksotik dasar laut, pengalaman yang tidak dapat ditemui ketika melakukan selaman di perairan terbuka.
Di perut bumi ini akan terlihat satu sisi unik dasar laut, sama ada pembentukan batuannya, karang atau hidupan laut. Serba-serbinya lain daripada lain. Sesiapa yang sebati dengan dasar laut akan sedar penghidupan di situ sesuatu yang indah. Sukar digambarkan dengan kata-kata. Itulah sebabnya mengapa penulis bersama rombongan 17 penyelam dari Kak Limah Diving Team yang diketuai jurulatih selam skuba berpengalaman, Ismadi Ismail berkunjung ke Bau-Bau di Pulau Buton, Sulawesi Tenggara, Indonesia, baru-baru ini.
Seseorang yang sudah bergelar penyelam akan setiap masa berazam untuk menakluk satu lautan ke satu lautan lain. Di situ, rombongan kami berpeluang menikmati pengalaman menyelam dalam gua air laut dan gua air tawar. Kami ditemani dua penyelam berpengalaman iaitu Ayub Polii dari Taman Nasional Wakatobi (Indonesia) dan Muslimin dari pusat selam Wasage Divers.
Kami agak bertuah dapat melakukan selaman di sini kerana ia baru saja dibuka untuk orang awam dan Ayub memberitahu, kami antara rombongan pertama dari luar Indonesia menyelam di gua itu. Dari pusat kota Bau-Bau, kami bergerak ke destinasi selaman di Pantai Kamali. Selaman pertama kami lakukan di gua air tawar iaitu Gua Lanto. Gua ini terletak berdekatan dengan kawasan perkampungan. Dasar laut gua ini sedalam 12 hingga 15 meter. Tidak banyak hidupan laut dalam gua ini. Kata Ayub hanya ada seekor ikan dan udang dalam gua itu.
Sebagaimana lazimnya, isi perut gua ini dipenuhi formasi batuan stalagtit dan stalagmit. Beberapa laluan lorong gua juga terlalu kecil, hanya mampu memuatkan seorang penyelam saja. Sepanjang laluan itu pula kami hanya bergantung kepada seutas tali berwarna putih yang disediakan pihak taman laut sebagai penunjuk arah. Seputar gua sangat gelap, jadi kami sangat bergantung kepada tali itu supaya tidak tersesat atau tertinggal rakan selaman lain.
Ada masanya ketika debu batu kapur mengaburi penglihatan, jarak pandangan penulis menjadi terlalu pendek, sekaki pun sukar untuk melihat apa-apa dalam gua itu melainkan pancaran lampu suluh. Semakin dalam, semakin kurang cahaya, gua pula semakin gelap. Batuan tajam yang tersembul di sisi gua ada kalanya kelihatan begitu menyeramkan. Fikiran juga sering terganggu dengan pelbagai risiko bahaya yang mungkin dihadapi ketika menyelam, penulis sepanjang masa sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga kerana bimbangkan keselamatan diri. Ruang sempit untuk penyelam ketika melalui laluan tertentu di gua ini sebenarnya boleh mengundang bahaya, lebih-lebih lagi sekiranya berlaku sebarang kesilapan teknikal pada alat selaman.
Berbeza dengan selaman di dasar laut terbuka, selaman dalam gua sememangnya memerlukan perancangan selaman yang cukup baik, sebarang kesilapan boleh membawa maut. Sebab itu, penyelam yang akan melakukan selaman gua ini hanya dibenarkan kepada penyelam yang mempunyai pengalaman menyelam sekurang-kurangnya 150 jumlah selaman. Hanya penyelam berpengalaman saja yang boleh melakukan imbangan badan dalam air dengan sempurna, selain kawalan pernafasan yang baik untuk tempoh selaman yang panjang, ia amat penting sebagai persiapan melakukan selaman gua ini. Selesai selaman di Gua Lanto, kami meneruskan selaman ke gua air laut, iaitu Gua Loba-loba. Di Indonesia, loba-loba juga bermaksud udang kara (lobster).
Berbanding gua sebelumnya, Gua Loba-Loba ini tidak sepi dengan hidupan laut. Terumbu karang di pintu masuk gua ini sudah cukup mempesonakan sebaik kami memulakan selaman. Sebagaimana namanya, gua ini dihuni udang kara, kelihatan seperti labah-labah merayap di dinding-dinding gua. Kawanan ikan juga memenuhi ruang lautnya. Tapak selaman ini menjangkau kedalaman sehingga 22 meter. Uniknya, Gua Loba-Loba ini memiliki ruang apung (chambers), ia dipanggil Lubang Biru (Blue Holes). Lubang ini terletak di pinggir hutan dan jauh dari kawasan penduduk. Bagi penduduk sekitar Bau-Bau, gua ini dianggap berpuaka. Mereka percaya ada sotong kurita gergasi menghuni gua berkenaan.
Lantaran itu jugalah udang kara yang menghuni dasar laut gua ini tidak pernah terusik. Tiada siapa berani mendekati sekitar gua ini. Apa yang melucukan, sebenarnya cerita mengenai sotong gergasi itu adalah cerita yang sengaja direka-reka penyelam tempatan untuk menakutkan penduduk di situ. Ayub berkata, jika cerita begitu tidak dibesar-besarkan, sudah tentu ramai penduduk kampung yang akan meratah hidupan laut di situ untuk dijual, terutama udang kara. Sepanjang melakukan aktiviti selaman di Bau-Bau, rombongan kami yang menginap di Nirwana Beach Villa turut melakukan selaman di tapak lain, antaranya Jeti Pelni, Pasar Wajo, Dermaga Ajaib, Pulau Siompu dan Bangkai Kapal Batu Lo.
Berani penulis katakan, Bau-Bau antara destinasi selaman baik berbanding sebilangan destinasi selaman popular di Indonesia. Dari pengalaman penulis, kalau bukan tarikan ikan mola-mola (matahari) di Bali, Bau-Bau jauh lebih hebat. Pulau Weh di Aceh bukan tandingan. Mungkin lanskap di dasar laut Wakatobi tidak dapat ditandingi, tetapi Bau-Bau tidak lokek dengan pelbagai jenis hidupan makro laut. Penyelam dengan mudah akan menemui pelbagai jenis nudibranch (lintah laut), ghost pipe fish, Harlequin Shrimp (sejenis udang), eagle ray (pari helang), jerung karang dan ikan lumba-lumba.
Di Dermaga Ajaib, penyelam tidak perlu menunggu senja untuk melihat ikan mandarin, ia akan muncul sepanjang hari ditemani puluhan Mooray Eel (sejenis belut) dan kawanan keli laut, walaupun tapak selaman ini hanyalah sekadar sebuah jeti. Bagi juru gambar dasar laut, Bau-Bau adalah destinasi tepat untuk dikunjungi. Ia umpama syurga penyelam.
0 Response to "Misteri Puaka Gua Loba-Loba (6 Gambar)"
Post a Comment