SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak tertekan dengan gabungan pemimpin-pemimpin PKR menjelang pemilihan parti tersebut.
Khalid yang akan merebut jawatan Timbalan Presiden PKR yang disandang oleh Azmin Ali, menyatakan bahawa perkara ini merupakan persaingan sihat dalam PKR.
“Saya tidak rasa tertekan kerana ini satu pembaharuan yang menggalakkan saya untuk menyertai parti reformasi,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Annex di sini.
“Pemilihan parti PKR adalah secara akar umbi, jadi setiap ahli boleh memilih bukan melalui perwakilan. Oleh sebab itulah kita galakkan perkara ini berlaku,” ujarnya.
Semalam, tiga calon pemilihan PKR, Datuk Saifuddin Nasution yang akan merebut jawatan timbalan presiden dan dua calon naib presiden, Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli bergabung untuk membentuk satu pasukan bagi merebut jawatan yang dipertandingkan.
Selain Saifuddin dan Azmin, Khalid juga bakal berhadapan dengan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua untuk jawatan kedua tertinggi PKR itu.
Apabila disoal mengenai debat yang dicadangkan sebelum pemilihan, Khalid berkata ianya bukan satu keperluan.
“Debat ini bukan caranya, kerana ahli-ahli kita bukan sahaja duduk di Kuala Lumpur. Ini bukan perkara besar, ini hanyalah untuk PKR dan ahli-ahlinya sahaja,” katanya lagi.
Bagi Azmin Ali pula, beliau menjelaskan bahawa trio tersebut dilihat sebagai satu kebebasan demokrasi yang dimiliki oleh PKR.
Azmin yang merupakan ADUN Bukit Antarabangsa dan Ahli Parlimen Gombak turut menjelaskan bahawa keputusan untuk berdebat itu seharusnya ditunggu sehingga tarikh pencalonan ditutup.
Jawatankuasa Pemilihan PKR menetapkan 25 April hingga 11 Mei depan sebagai tarikh pengundian pemilihan pucuk pimpinan parti dan akan dijalankan mengikut zon secara berperingkat dalam tempoh tiga minggu.
Keputusan undian dijangka diketahui selewat-lewatnya 5 petang sebaik proses pengundian tamat manakala barisan kepimpinan baharu akan diumumkan selewat-lewatnya 13 Mei
0 Response to "Kumpulan Trio: Khalid dan Azmin tidak tertekan"
Post a Comment