PETALING JAYA: Blogger Shahbudin Husin menyifatkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang dahulu dikenali sebagai menteri amaran, kini digelar menteri penafian pula.
Katanya,ramai yang memuji keupayaan Hishammuddin dalam mengendalikan sidang akhbar, menjawab soalan dan memberi penjelasan, terutamanya daripada asakan soalan media asing sepanjang tugasnya sebagai pemangku Menteri Pengangkutan berkaitan kehilangan pesawat MH370.
“Caranya menjawab soalan-soalan wartawan dikatakan cukup meyakinkan, tenang dan menunjukkan beliau memang membuat persiapan yang sewajarnya sebelum setiap kali sidang akhbar itu diadakan,” katanya dalam posting yang terbaharu dalam blognya www.shahbudindotcom.blogspot.com
Katanya, kemampuan Hishammuddin berhadapan dengan media bukan saja menunjukkan beliau lebih baik berbanding Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dua kali membaca kenyataan akhbar mengenai tragedi MH370, sekali di Kuala Lumpur dan sekali lagi di Perth, tetapi mengelak untuk disoal jawab oleh wartawan, bahkan gaya dan stail yang ditunjukkan oleh Hishammuddin itu mengingatkan kita kepada kemampuan yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam aspek yang sama, terutama ketika dalam kerajaan.
“Baik ketika bersama kerajaan dulu, mahupun sebagai Ketua Pembangkang sekarang, kemampuan Anwar berhadapan dengan media, baik tempatan mahupun asing, tidak perlu dipersoalkan lagi,” katanya lagi.
Beliau yang juga bekas ahli jawatankuasa Umno Bahagian Wangsa Maju berpendapat melihat kebolehan Hishammuddin itu, seperti menunjukkan beliau mempelajari sesuatu daripada apa yang pernah ditonjolkan oleh Anwar sebelum ini.
“Hanya berbekalkan kebolehan mengendalikan sidang akhbar berkaitan kehilangan pesawat MH370, kelemahan dan kelembikan beliau sebelum ini ketika menjadi Menteri Dalam Negeri seakan-akan telah dilupakan,” tegasnya.
Bahkan, katanya lagi, gelarannya sebagai Menteri Amaran Dalam Negeri berikutan kekerapan memberi amaran tetapi tiada tindakan, tidak lagi dibangkitkan ketika ini.
“Walaupun dalam pemilihan Umno tahun lepas, Hishammuddin tertinggal jauh berbanding dua regunya yang lain iaitu Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Apdal, Hishammuddin sudah mulai disebut-sebut sebagai bakal pengganti Najib hanya kerana penonjolannya berhadapan dengan media berkaitan kehilangan pesawat yang masih misteri sehingga sekarang,” katanya lagi.
Shahbudin berpendapat bahawa tragedi MH370, di sebalik membawa cerita duka kepada ramai orang di seluruh dunia, bagaikan membawa rahmat terselindung kepada anak bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn itu.
“Namun demikian, jika sebelum ini Hishammuddin digelar Menteri Amaran, gelaran barunya selepas beberapa ketika mengendalikan sidang akhbar berkaitan misteri MH370 turut bertukar menjadi Menteri Penafian pula berikutan sejak kehilangan pesawat MH370 yang sudah memasuki hari ke 38 ini, peranannya yang paling banyak sekali dilakukan ialah membuat penafian,” katanya.
Katanya, beliau tidak saja menafikan banyak teori dan spekulasi yang disiarkan oleh beberapa media asing, bahkan juga terpaksa menafikan spekulasi yang dibuat oleh media dalam negara dan dimiliki oleh Umno sendiri.
“Apabila Utusan mengaitkan kehilangan pesawat dengan CIA, beliau tampil menafikannya dan begitu juga ketika NST menyiarkan berita ada panggilan yang cuba dibuat oleh pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid ketika pesawat itu terbang rendah di perairan Pulau Pinang, sekali lagi beliau juga menafikannya,” jelas beliau,
Katanya lagi, apabila Anwar Ibrahim membuat dakwaan bahawa kerajaan menyembunyikan maklumat, Hishammuddin juga segera menafikannya dengan berkata, tiada apa yang perlu disembunyikan dan kerajaan sentiasa telus kepada media dan orang awam.
“Bahkan ketika kenyataan Perdana Menteri yang memaklumkan kesimpulan kerajaan berdasarkan data satelit Immarsat bahawa pesawat itu berakhir di Lautan Hindi dan tafsiran ianya terhempas dipertikaikan seminggu kemudian kerana masih tiada bukti serpihan kapalterbang dan cebisan mayat ditemui, Hishammddin dengan selamba dan penuh yakin menafikan perkataan terhempas itu datang daripada mulut Najib,” katanya.
Shahbudin menambah dalam hal ini, Hishammuddin bukan saja mampu mengendalikan sidang akhbar tetapi juga mampu melindungi Najib walau dalam situasi semua orang mempercayai pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi adalah sama dengan terhempas.
“Dengan membuat banyak penafian, gelaran sebagai menteri yang suka memberi amaran, tidak lagi diperkatakan dan mula dilupakan. Tetapi gelaran baru ini sekurang-kurangnya tidaklah melimpahkan imej seburuk Menteri Amaran yang disandangnya sebelum ini,” tegasnya.
0 Response to "Hishammuddin, dahulu menteri ‘amaran’, kini menteri ‘penafian’"
Post a Comment